22 November 2012
Muharram 1434
Telah lama saya tidak menulis di sini. Tahun baru Islam telah bermula, dan begitu juga cuti sekolah di Malaysia.
Muharram 1434 bermula, tetapi saya tewas dalam beberapa minggu ini menghadapi cabaran kehidupan yang hanya sementara ini. Keduniaan membuatkan berbagai amalan ditinggalkan dan diketepikan. Saya memohon rahmat dan belas kasihan Allah untuk memberikan saya kekuatan beristiqamah dalam beribadat.
Ya Allah, hambaMu yang kerdil ini memohon keampunanMu!
10 September 2012
Ustaz Ebit Irawan Ibrahim Lew
MasyaAllah. Hati saya sentiasa tersentuh bila mendengar sesi bersama Ustaz Ebit Irawan Ibrahim Lew ini. Semoga saya boleh mempraktikkan apa yang dikatakan oleh Uztaz.
'Islam itu hidup seperti air yang mengalir, sentiasa memberi manfaat...'
Saya dilahirkan dalam Islam namun penghayatan menjadi seorang Muslimin memerlukan ilmu dan amal.
Ya Allah, saya mohon rahmatMu dan keampunanMu...
05 September 2012
'Janji Ditepati' dan 'BR1M'
Slogan sambutan merdeka tahun ini '55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati' mengundang berbagai pertanyaan di fikiran saya:
- Adakah janji untuk hadir ke sesuatu majlis tepat pada waktunya sentiasa ditepati oleh pemimpin kita? Berapa banyak masa yang dibazirkan di majlis-majlis berkaitan di mana para hadirin yang 'dijemput khas' untuk hadir dan seterusnya terpaksa menunggu kehadiran pemimpin yang datang lewat.
- Kenapakan di Malaysia berbagai acara melibatkan pemimpin sentiasa diadakan? Ada kalanya kos mengadakan majlis adalah lebih daripada kos program berkenaan. Contohnya, pemberian sumbangan BR1M adalah hanya RM500 satu keluarga, tetapi acara penyampaian oleh pemimpin melibatkan beribu hadirin, dengan kos khemahnya, liputan media dan sebagainya.
- BR1M melibatkan lebih RM2 billion sumbangan kepada lebih 4.7 juta keluarga (sumber di sini. Saya juga pernah melihat papantanda besar berhubung perkara ini). Sekiranya purata satu keluarga mempunyai 3 orang anggota keluarga, ini bermakna 14.1 juta penduduk Malaysia adalah penerima BR1M (secara langsung atau tidak langsung), iaitu lebih kurang 50% keseluruhan rakyat Malaysia.
- Iklan berhubung BR1M memaparkan bahawa bantuan RM500 berkenaan cukup untuk semuanya - beli motor baru, beli baju sekolah anak-anak, beli kacamata baru, belanja perubatan dan sebagainya. Padahal pada masa ini nilai RM500 tidaklah seberapa.
Sesungguhnya menjadi pemimpin adalah amanah Allah yang amat besar dan semestinya akan diperhalusi semasa di akhirat kelak. Sedarlah bahawa dunia ini adalah pinjaman semata-mata dan akhirat adalah matlamat utama - pesanan terutamanya kepada diri yang serba kekurangan ini.
Ya Allah, saya mohon keampunanMu...
31 Ogos 2012
Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan ke-55
Kepada seluruh rakyat Malaysia, selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan ke-55. Semoga Malaysia mendapat berkat dan rahmat Allah sentiasa.
Ya Allah, saya mohon keampunanMu...
28 Ogos 2012
400 Pemimpin Masyarakat ditaja menunaikan Haji
Saya membaca ini di The Star di mana 400 pemimpin masyarakat berpeluang menunaikan fardhu haji pada tahun ini dengan penajaan bersama Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Yayasan 1Malaysia. Sejumlah RM6 juta diperuntukan untuk mereka ini, atau RM15,000 seorang, bermakna dapat 'pocket money' lagi.
Tahniah kepada mereka kerana berpeluang untuk menunaikan Rukun Islam yang kelima ini dan di bawah tajaan pula. Namun saya terfikir berhubung:
- kriteria pemilihan mereka;
- kuota 400 berkenaan bermakna 400 bakal haji yang menunggu tidak dapat menunaikan haji kali ini;
- adakah mereka ini tidak pernah menyimpan sedikit demi sedikit di LTH bagi tujuan menunaikan haji sehinggakan peruntukan RM15,000 seorang disediakan untuk mereka? Seharusnya mungkin sebahagian sahaja yang ditaja, manakala yang lain ditanggung sendiri. Bukankah mereka ini pemimpin masyarakat, yang sepatutnya memberikan contoh kepada masyarakat supaya mula menyimpan bagi tujuan menunaikan haji seawal mungkin?
Saya rasa mungkin 400 orang ini dan keluarga akan berterima kasih, manakala 4,000 orang yang lain dan keluarga (iaitu mereka yang tidak terpilih) akan merasa tidak berpuas hati.
Ya Allah, saya mohon keampunanMu...
24 Ogos 2012
Salam Aidilfitri 1433H
Pada tanggal 6 Syawal 1433H ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir batin kepada semua Muslimin dan Muslimat. Semoga kita berkesempatan untuk bertemu 1 Syawal 1434H dan kem ibadat semasa Ramadhan yang baru berlalu telah berjaya melatih kita untuk berterusan melakukan ibadat sepanjang tahun.
Ya Allah, saya mohon keampunanMu...
09 Ogos 2012
10 Hari Terakhir Ramadhan 1433H
Tinggal 10 hari sahaja lagi Ramadhan 1433H dan bulan yang penuh berkat ini akan meninggalkan kita semua tidak lama lagi. Saya berpesan kepada diri saya sendiri untuk melipatgandakan ibadah pada 10 hari Ramadhan terakhir ini agar ianya diterima oleh Allah SWT. Ya Allah, saya bertaubat kepadaMu dan ampunkan dosa-dosaku, dosa-dosa ahli keluargaku, dosa-dosa Muslimin dan Muslimat semua, samada yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia.
Ya Allah, saya bersyukur atas limpahan nikmatMu dan berikan peluang untuk kami semua mendapat Lailatul Qadar, malam yang LEBIH baik daripada seribu bulan. Janganlah jadikan kami orang-orang yang rugi di Ramadhan ini.
Ya Allah, saya mohon keampunanMu...
27 Julai 2012
Berbuka Puasa di Masjid
Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT yang telah memanjangkan umur untuk bertemu Ramadhan sekali lagi. Hari ini adalah hari ke tujuh Ramadhan dan telah berbuka puasa di masjid setiap hari sepanjang enam hari pertama Ramadhan.
Subhanallah juga kerana Allah membukakan hati anak-anak yang tidak seberapa umurnya untuk mengikut berbuka puasa di masjid - tanpa mengira juadah yang terhidang di rumah. Setiap hari kami saling ingat-mengingat untuk bergerak ke masjid bila jam sudah menunjukkan 7.10pm.
Terima kasih tidak terhingga kepada Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim yang kerap memberi ingatan berhubung perkara ini. Dapatkan kami bersembahyang Maghrib berjemaah di masjid disamping menambah jumah sedekah hasil penjimatan kerana tidak berlebih-lebihan bab makan.
Semoga Ramadhan ini menjadi Ramadhan terbaik untuk kami sekeluarga dan umat Islam seluruhnya.
Ya Allah, saya mohon keampunanMu...
20 Julai 2012
Ramadhan Mubarak!
Kepada semua muslimin dan muslimat, selamat meyambut bulan Ramadhan yang penuh dengan kebaikan. Marilah kita bersama-sama merebut peluang yang terbuka luas untuk melakukan amal-ibadah sebaik mungkin, semata-mata kerana Allah.
Ya Allah, saya mohon keampunanMu!
10 Julai 2012
Bangun Malam
Saya sentiasa mengikuti blog Prof Dr Muhd Kamil - tidak putus memberi peringatan untuk saya untuk terus berusaha menjadi insan terpilih.
Namun demikian, saya amat berharap agar saya diberi rahmat Allah untuk setiap hari bangun malam untuk mengerjakan ibadah - paling tidak solat dua rakaat.
Ya Allah, saya mohon keampunanMu...
09 Julai 2012
Kematian
Malam tadi saya bermimpi dan saya dapat mengingati yang ianya melibatkan abang saya yang telah pulang ke Rahmatullah. Selalunya, saya tidak dapat mengingati mimpi-mimpi saya. Kali ini ianya jelas dalam ingatan. Secara ringkasnya, dalam mimpi itu saya telah tersesat jalan dan arwah abang saya telah menunjukkan jalan yang sepatutnya saya ambil. Allah Maha Besar. Arwah abang saya memang selalu menjadi rujukan adik-beradik jika ingin bermusafir kerana beliau rajin berkunjung ke seluruh pelusuk tanahair.
Teringatkan mimpi berkenaan membuatkan saya berasa risau yang amat sangat. Apakah cukup apa yang saya lakukan untuk bekal di hari pembalasan. Adakah taubat saya diterima Allah? Kandungan surah At Takaathur perlu dihayati:
Dua kali kita diberi amaran untuk tidak lalai melakukan amalan disebabkan kehidupan dunia, yang hanya sementara ini.
Semoga petunjuk jalan yang betul oleh arwah abang saya dalam mimpi saya malam tadi akan terus memberikan ingatan saya berhubung kematian dan meningkatkan amalan saya semata-mata kerana Allah.
Ya Allah, saya mohon keampunanMu...
20 Jun 2012
Aqidah dan Amalan Ibadah
Saya berpeluang mendengar program YBhg Prof Dr Muhaya Mohamad di IKIMfm pagi tadi dan saya ingin berkongsi apa yang saya perolehi dari beliau:
Amalan ibadah akan menjadi sangat enak dan mudah sekiranya kita ada aqidah. Alhamdulillah, kita amat bertuah kerana dilahirkan beragama Islam - satu nikmat yang tidak ternilai. Namun demikian, kebanyakan kita 'disuruh' untuk melakukan amalan ibadah semasa kecil, tanpa mendalami aqidah. Oleh yang demikian, kebanyakan amalan ibadah yang dilakukan terasa amat payah dan tidak terkesan di hati. Oleh yang demikian, Dr Muhaya memberi contoh supaya ibubapa menceritakan kebesaran Allah SWT kepada anak-anak sebagai 'bedtime stories'. Anak yang baru bangun tidur juga harus diingatkan bahawa "Alhamdulillah kita masih bernafas dan ruh dipulangkan ke badan kita oleh Allah SWT." Ini akan dapat meningkatkan aqidah dan secara langsung akan menjadikan anak-anak merasa enak melakukan amalan ibadah.
Semoga saya dapat mempraktikan saranan beliau dan dapat mendidik anak-anak yang soleh, insyaAllah.
Ya Allah, saya mohon keampunanMu...
17 Jun 2012
Israk & Mikraj
Di sana-sini, di surau dan masjid, berbagai aktiviti berkaitan Israk & Mikraj sedang berjalan. Alhamdulillah, saya berpeluang mendengan ceramah Israk & Mikraj malam tadi di mana penceramah menyampaikan agar kita dapat melihat peristiwa besar ini dari dua sudut, iaitu:
1. Hadiah Allah SWT kepada Rasulullah (SAW) untuk menggembirakan baginda berikutan kematian dua orang yang sangat baginda kasihi pada tahun itu (yang juga dikenali sebagai Tahun Kesedihan), pakcik baginda Abu Thalib dan tidak lama kemudian, isteri baginda Saidatina Siti Khadijah binti Khuwailid.
2. Membuktikan pengiktirafan yang teragung kepada Rasulullah (SAW) sebagai Penghulu segala nabi dan rasul. Penceramah menceritakan apabila Rasulullah (SAW) tiba di Baitul Maqdis, para nabi terdahulu telah sedia menanti. Rasulullah (SAW) langsung mengerjakan solat tahyatul masjid dan kemudian Malaikat Jibril menyuruh Nabi mengimami solat bersama barisan nabi terdahulu.
Sekadar berkongsi, semoga ianya menjadi ilmu bermanfaat kepada saya dan semua yang membaca.
Ya Allah, saya mohon keampunanMu...
15 Jun 2012
Berubah
Mulai hari ini, blog ini berubah – semoga saya sentiasa patuh dan taat kepada Allah. Saya mohon keampunanNya dan keampunan semua sekiranya ada catatan-catatan sebelum ini yang telah menyinggung perasaan sesiapa sahaja. Saya insan yang lemah dan tidak mungkin terlepas dari melakukan kesalahan. Saya mohon keampunan!
Blog ini juga bertukar bahasa, kerana lebih mudah untuk saya berbahasa Melayu, bahasa ibunda saya. Terdapat juga catatan-catatan yang telah saya padamkan.
Ya Allah, saya mohon keampunanMu…
12 April 2012
Daulat Tuanku
Daulat Tuanku! Congratulations to the Sultan of Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, on his installation as our 14th Yang di-Pertuan Agong yesterday.
And thank you for the extra public holiday too!
(picture from Star Online)
Langgan:
Catatan (Atom)



