Saya membaca
ini di The Star di mana 400 pemimpin masyarakat berpeluang menunaikan fardhu haji pada tahun ini dengan penajaan bersama Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Yayasan 1Malaysia. Sejumlah RM6 juta diperuntukan untuk mereka ini, atau RM15,000 seorang, bermakna dapat 'pocket money' lagi.
Tahniah kepada mereka kerana berpeluang untuk menunaikan Rukun Islam yang kelima ini dan di bawah tajaan pula. Namun saya terfikir berhubung:
- kriteria pemilihan mereka;
- kuota 400 berkenaan bermakna 400 bakal haji yang menunggu tidak dapat menunaikan haji kali ini;
- adakah mereka ini tidak pernah menyimpan sedikit demi sedikit di LTH bagi tujuan menunaikan haji sehinggakan peruntukan RM15,000 seorang disediakan untuk mereka? Seharusnya mungkin sebahagian sahaja yang ditaja, manakala yang lain ditanggung sendiri. Bukankah mereka ini pemimpin masyarakat, yang sepatutnya memberikan contoh kepada masyarakat supaya mula menyimpan bagi tujuan menunaikan haji seawal mungkin?
Saya rasa mungkin 400 orang ini dan keluarga akan berterima kasih, manakala 4,000 orang yang lain dan keluarga (iaitu mereka yang tidak terpilih) akan merasa tidak berpuas hati.
Ya Allah, saya mohon keampunanMu...