09 Mei 2013
PRU13
Ya Allah, kami mohon perlindungan dan rahmatMu akan negara kami terus aman tenteram. Tetapkanlah hati kami dalam Islam semoga kami beroleh kejayaan di dunia dan akhirat, dengan limpah rahmatMu.
PRU13 telah beberapa hari berlalu. Semoga semua pihak tidak bertindak di luar batasan.
Ya Allah, hambaMu ini memohon keampunanMu.
17 Januari 2013
Masa dan Nikmat Allah
Betapa cepatnya masa berlalu. Awal Muharram 1434H seperti baru sahaja, namun hari ini sudah 5 Rabiulawal 1434 (05/03/1434H). Tahun baru masihi 01/01/2013 sudah 17 meninggalkan kita. Bagi saya, masa begitu cepat berlalu dan penghujung semakin hampir, satu ketentuan yang tidak dapat dielakkan oleh sesipapun.
Namun adakah saya mempergunakan masa, yang berlalu sebegitu pantas ini, sebaik-baiknya? Apakah saya dapat memenuhkan masa yang berlalu dengan melaksanakan amal ibadat semoga Allah memberikan rahmat dan redhaNya? Namun begitu, rahmat Allah juga yang membolehkan saya terus bernafas untuk menghambakan diri kepadaNya. Memang, Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Ya Allah, hambaMu ini memohon keampunanMu.
22 November 2012
Muharram 1434
Telah lama saya tidak menulis di sini. Tahun baru Islam telah bermula, dan begitu juga cuti sekolah di Malaysia.
Muharram 1434 bermula, tetapi saya tewas dalam beberapa minggu ini menghadapi cabaran kehidupan yang hanya sementara ini. Keduniaan membuatkan berbagai amalan ditinggalkan dan diketepikan. Saya memohon rahmat dan belas kasihan Allah untuk memberikan saya kekuatan beristiqamah dalam beribadat.
Ya Allah, hambaMu yang kerdil ini memohon keampunanMu!
10 September 2012
Ustaz Ebit Irawan Ibrahim Lew
MasyaAllah. Hati saya sentiasa tersentuh bila mendengar sesi bersama Ustaz Ebit Irawan Ibrahim Lew ini. Semoga saya boleh mempraktikkan apa yang dikatakan oleh Uztaz.
'Islam itu hidup seperti air yang mengalir, sentiasa memberi manfaat...'
Saya dilahirkan dalam Islam namun penghayatan menjadi seorang Muslimin memerlukan ilmu dan amal.
Ya Allah, saya mohon rahmatMu dan keampunanMu...
05 September 2012
'Janji Ditepati' dan 'BR1M'
Slogan sambutan merdeka tahun ini '55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati' mengundang berbagai pertanyaan di fikiran saya:
- Adakah janji untuk hadir ke sesuatu majlis tepat pada waktunya sentiasa ditepati oleh pemimpin kita? Berapa banyak masa yang dibazirkan di majlis-majlis berkaitan di mana para hadirin yang 'dijemput khas' untuk hadir dan seterusnya terpaksa menunggu kehadiran pemimpin yang datang lewat.
- Kenapakan di Malaysia berbagai acara melibatkan pemimpin sentiasa diadakan? Ada kalanya kos mengadakan majlis adalah lebih daripada kos program berkenaan. Contohnya, pemberian sumbangan BR1M adalah hanya RM500 satu keluarga, tetapi acara penyampaian oleh pemimpin melibatkan beribu hadirin, dengan kos khemahnya, liputan media dan sebagainya.
- BR1M melibatkan lebih RM2 billion sumbangan kepada lebih 4.7 juta keluarga (sumber di sini. Saya juga pernah melihat papantanda besar berhubung perkara ini). Sekiranya purata satu keluarga mempunyai 3 orang anggota keluarga, ini bermakna 14.1 juta penduduk Malaysia adalah penerima BR1M (secara langsung atau tidak langsung), iaitu lebih kurang 50% keseluruhan rakyat Malaysia.
- Iklan berhubung BR1M memaparkan bahawa bantuan RM500 berkenaan cukup untuk semuanya - beli motor baru, beli baju sekolah anak-anak, beli kacamata baru, belanja perubatan dan sebagainya. Padahal pada masa ini nilai RM500 tidaklah seberapa.
Sesungguhnya menjadi pemimpin adalah amanah Allah yang amat besar dan semestinya akan diperhalusi semasa di akhirat kelak. Sedarlah bahawa dunia ini adalah pinjaman semata-mata dan akhirat adalah matlamat utama - pesanan terutamanya kepada diri yang serba kekurangan ini.
Ya Allah, saya mohon keampunanMu...
31 Ogos 2012
Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan ke-55
Kepada seluruh rakyat Malaysia, selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan ke-55. Semoga Malaysia mendapat berkat dan rahmat Allah sentiasa.
Ya Allah, saya mohon keampunanMu...
28 Ogos 2012
400 Pemimpin Masyarakat ditaja menunaikan Haji
Saya membaca ini di The Star di mana 400 pemimpin masyarakat berpeluang menunaikan fardhu haji pada tahun ini dengan penajaan bersama Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Yayasan 1Malaysia. Sejumlah RM6 juta diperuntukan untuk mereka ini, atau RM15,000 seorang, bermakna dapat 'pocket money' lagi.
Tahniah kepada mereka kerana berpeluang untuk menunaikan Rukun Islam yang kelima ini dan di bawah tajaan pula. Namun saya terfikir berhubung:
- kriteria pemilihan mereka;
- kuota 400 berkenaan bermakna 400 bakal haji yang menunggu tidak dapat menunaikan haji kali ini;
- adakah mereka ini tidak pernah menyimpan sedikit demi sedikit di LTH bagi tujuan menunaikan haji sehinggakan peruntukan RM15,000 seorang disediakan untuk mereka? Seharusnya mungkin sebahagian sahaja yang ditaja, manakala yang lain ditanggung sendiri. Bukankah mereka ini pemimpin masyarakat, yang sepatutnya memberikan contoh kepada masyarakat supaya mula menyimpan bagi tujuan menunaikan haji seawal mungkin?
Saya rasa mungkin 400 orang ini dan keluarga akan berterima kasih, manakala 4,000 orang yang lain dan keluarga (iaitu mereka yang tidak terpilih) akan merasa tidak berpuas hati.
Ya Allah, saya mohon keampunanMu...
Langgan:
Catatan (Atom)